Khamis, 19 Januari 2017

MSSD

19/1/2017
Hari ini aku terjaga awal daripada biasa. Tetapi seperti biasa aku tidur semula dan bangun semula pada jam 6.00 pagi. Rutin harian aku berjalan seperti biasa. Namun pada hari ini aku terlewat ke perhimpunan. Mungkin kerana tertidur setelah makan pagi. Seperti biasa di perhimpunan , kami semua menyanyikan lagu negaraku dan mendengar pengumuman. Tetapi pengumuman pada hari ini mengejutkan aku. Wakil sekolah bola tampar bawah 18 dipanggil untuk berjumpa dengan kapten pasukan. Aku sudah boleh mengagak apa yang bakal berlaku. Dia akan mengumumkan siapa yang bakal tersingkir daripada 15 orang antara kami. Ini kerana hanya 12 orang sahaja yang dibenarkan untuk menyertai MSSD. Aku teringat peristiwa tahun lepas, ketika pemilihan bola sepak dilakukan. Aku merupakan antara tiga orang yang tidak terpilih. Perasan yang aku rasa ketika itu, aku harap tidak akan merasanya lagi pada masa akan datang. Ketika pengumuman dibuat, aku terpilih. Aku berasa amat lega ketika itu. Tetapi aku perasan ada satu nama rakanku yang tidak terpilih. Perasaan legaku tadi berkurangan.
Rakanku tadi kelihatan muram di dalam kelas. Sudah pasti dia akan berkelakuan begitu. Aku pernah merasainya. Tetapi ini kali pertama aku merasai dengan melihat bagaimana orang lain rasainya. Perasaannya agak sama. Jadi aku tidak rasa harapan aku tadi tercapai. Aku masih merasakan perasaan yang sama seperti peristiwa dahulu. Agak perit rasanya apabila rakan yang kita berjuang bersama -sama ditinggalkan di belakang, hanya kerana sedikit kekurangan padanya.
Bersukan banyak faedahnya. Sesetengah orang berpendapat bahawa sukan hanya untuk menyihatkan badan. Namun begitu, banyak lagi faedah yang hanya boleh dirasai oleh mereka yang bersukan. Sukan merupakan aktiviti yang melibatkan semangat berpasukan dan kerjasama antara satu sama lain. Sukan jugalah yang menyebabkan aku dapat menambah kenalan baharu. Jadi, satu perkara yang ingin aku tekankan adalah, sukan mampu mengeratkan hubungan sesama rakan. Walaupun kita bukan sedang bersukan, tetapi perkara tersebut masih dapat dirasai dalam kehidupan . Seperti kisah di atas tadi. Sebenarnya aku ingin menyeru kawan-kawan yang tidak bersukan supaya bersukan, kerana banyak kelebihan yang tersirat, dan susah untuk diungkapkan dalam karangan. Kisah di atas seperti lebih kepada kekurangan, kerana merasa kesedihan orang lain, tetapi ia sebenarnya kelebihan di mana kita dapat memahami perasaan orang lain. Maka ini sahajalah kisah hari ini.

Selasa, 17 Januari 2017

Journal Pertama di Permata

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Hari ini, 17 Januari 2017, seperti biasa saya bangun pada jam 5.50 pagi dan mengejut rakan -rakan yang lain. Kami bergerak ke dewan serbaguna dan membentangkan sejadah untuk solat subuh secara berjemaah. Keadaan di dewan serbaguna agak panas kerana masalah pendingin hawa ditambah pula dengan bilangan pelajar yang semakin ramai. Setelah selesai solat. Kami membaca al-mathurat bersama-sama sebelum melangkah kaki ke dewan makan untuk sarapan pagi. Keadaan di dewan makan juga agak sesak menyebabkan ada di antara kami yang tidak selesa untuk bersarapan. Seterusnya, kami bersiap-siap untuk memulakan persekolahan. Perhimpunan pagi bermula jam 7.45 pagi di dewan serbaguna. Setelah itu, semua pelajar lama bergerak ke kelas masing- masing manakala pelajar baharu berada di dewan serbaguna untuk sesi orientasi. Saya merupakan salah seorang daripda Majlis Tertinggi Pelajar yang terlibat dalam slot itu sebagai fasilitator. Kami membimbing pelajar baharu untuk menyanyikan lagu anak permata dan varsiti kita. Slot seterusnya adalah aktiviti LDK. Pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka diberikan masalah untuk diselesaikan oleh mereka. Idea- idea mereka dibentangkan di hadapan semua di atas kertas mahjong. Namun begitu, tidak semua kumpulan berkesempatan untuk membentangkan idea mereka kerana kesuntukan masa. Kemudian , semua pelajar bergerak ke dewan makan untuk minum pagi. Setelah itu, saya bergerak ke makmal fizik untuk menghadiri kelas fizik dan seterusnya ke makmal bahasa untuk menghadiri kelas bahasa Melayu. Kami makan tengahari pada jam 12.30 tengahari , berehat, solat zohor berjemaah di surau, dan menyambung kelas pada jam 2.00 petang dan tamat pada jam 4.00 petang. Pada jam 4.30 petang, saya bersama-sama pelajar yang mewakili sekolah dalam sukan bola tampar bergerak ke gelanggang UKM dengan menaiki bas. Walaupun hujan, latihan kami tetap diteruskan sehinggalah bas tiba pada jam 6.20 petang dan membawa kami pulang ke asrama. Setelah itu, saya bersiap untuk pergi ke dewan makan dan seterusnya menunaikan solat maghrib di dewan serbaguna. Kemudian, kami menonton tayangan video islamik yang diuruskan oleh Exco Dakwah Islamiah di antara waktu maghrib dengan isyak. Selepas solat isyak, MTP menguruskan slot orientasi pelajar baharu manakala pelajar lama bergerak ke kelas untuk kelas persediaan. Aktiviti kami tamat pada jam 10.40 malam dan kami bergerak pula ke dewan makan untuk minum malam sebelum pulang ke bilik. Di bilik, saya berehat sebentar sebelum menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan oleh guru-guru di sekolah dan setelah itu saya menulis journal ini. Sekian, itu sahaja perjalanan saya pada hari ini.